"Takkan Melayu Hilang Di Dunia"
Quote ini sangat popular di negara kita. Pelbagai tafsiran tentang quote ini dipanjangkan dalam kehidupan masyarakat negara kita yang berbilang kaum.
Jadi kita akan bersama dengan Cik Srikandi untuk kita temubual mengenai bidang penulisan yang beliau mahir iaitu penulisan sejarah. Sebelum ini Cik Srikandi telah menghasilkan solo-work yang bertajuk Emas Para Dapunta & Maharaja terbitan Terfaktab serta collaboration work yang bertajuk Membongkar Rahsia Dunia Melayu terbitan Hijjaz Publishing. Kedua-dua buku ini telah menjadi bestseller di toko-toko buku.
S = Soalan
J = Jawapan Cik Srikandi
S: Apa perkembangan terkini cik Srikandi? Ada projek solo-work baru mengenai sejarah pada masa akan datang?
J: Salam semua. Bismillah, terlebih dahulu, terima kasih kerana sudi menemubual saya. Okay tanpa membuang masa saya jawab dengan sebaiknya insyaAllah. Terkini, saya sedang giat membuat penyelidikan membabitkan cabang linguistik, dan perkaitannya dengan sejarah dan tamadun.
Dalam hal ini saya fokus kepada linguistik dalam Proto-Austronesia. Juga, saya sedang mengkaji prasasti-prasasti di Kemboja dan Thailand, dan cuba serapkan kemahiran yang cuba saya bangunkan ketika penyelidikan PAN ke dalam kajian prasasti tu.
S: Mengapa topik sejarah yang menjadi kegemaran Cik Srikandi?
J: Bagi saya sejarah adalah alat yang amat ampuh dalam membina karakter manusia. Sejarah adalah medan untuk seseorang membina ketajaman deria dalam dua aspek; Kebijaksanaan (wisdom) dan pengetahuan (knowledge). Secara peribadi,saya suka berfikir jawapan kepada "mengapa?" dan "dari mana?". Dahulu, saya suka mendengar cikgu atau kawan-kawan bercerita. Kemudian saya suka membaca tentang sejarah dunia di perpustakaan. Saya mahu tahu asal-usul sesuatu perkara atau kejadian. Semua ini membangkitkan perasaan ingin tahu; inkuiri dalam diri saya.
Lama-kelamaan, saya tahu satu perkara; atau saya gelarkan sebagai 'glitch' dalam garis masa sejarah tamadun manusia. Iaitu kebanyakan ideologi dan sistem berasal dari sejarahwan dan pemikir ketamadunan. Kemudian saya berfikir bahawa bidang sejarah ini benar-benar berkuasa (powerful) dalam menguasai segenap bidang. Sebab itu orang yang paling berkuasa dari segi pengaruh dan material di dalam dunia ini sejak zaman-berzaman adalah mereka yg menguasai sepak terajang sejarah dunia.
Ini membuatkan saya semakin 'berminat' dengan sejarah dan mencintainya. :)
S: Buku Emas Para Dapunta Dan Maharaja mendapat pelbagai komen dan reaksi daripada pembaca. Ada yang kagum dan ada yang merasakan ia seperti fiksyen. Apa pandangan cik Srikandi tentang dakwaan fiksyen ini?
J: Pandangan saya, yang manakah fiksyen? Goerge Coedes ketika menerbitkan Le Royaume de Çrīvijaya sekitar 1918, ramai yg menganggapnya fiksyen sebab tiada siapa di Asia Tenggara pernah mendengar sebuah empayar bernama Srivijaya ketika itu. Ramai orang mengatakan Iliad & Odyssey adalah fiksyen sahaja tetapi aktiviti arkeologi dari semasa ke semasa untuk mengesahkan kewujudan Troy mula menarik perhatian orang ramai. Tak payah pergi jauh-jauh, Hikayat Merong Mahawangsa. Ramai yang bukan nak kata fiksyen tapi dongeng atau mitos orang Melayu zaman purbakala, tak masuk akal dan bla..bla. Tapi bila nama 'Langkasuka' yang dahulunya dicop kerajaan khayalan muncul dalam rekod2 dinasti Liang dan Song. Dan siap dilukis gambar dutanya dalam lukisan maharaja Yuan dari Liang, baru org buka mata dan rasa ada 'something' kat sana.
Jadi bagi saya, Emas Para Dapunta Dan Maharaja mencapai maksudnya, iaitu 'berlagak' seolah-olah 'fiksyen' untuk meracun pembaca supaya ambil berat tentang 'something' yang ada dalam sejarah Melayu.
Ia akan jadi fiksyen kepada satu kelompok. Tetapi bagi satu kelompok, ia adalah Le Royaume de Çrīvijaya atau puisi "Petra" John William Burgon yg terkenal itu.
S: Siapa inspirasi cik Srikandi dalam bidang sejarah? Ada mengidolakan penulis2 topik sejarah yang lain di dunia ini?
J: Inspirasi saya dalam bidang sejarah adalah.. cuba teka... siapa?Inspirasi sejarah saya ialah Rothschild family. Kenapa? Sebab mereka memelihara sejarah dan cintakan sejarah kerana mereka tahu kepentingan dia. Mereka bijak menggunakan sejarah dan mengeluarkan 'sihir' dari sejarah untuk memukau sekelompok manusia. Mereka mempertahankan sejarah, sebab mereka tahu nasib sesuatu bangsa atau tamadun akan musnah jika mereka lupa asal-usul atau kronologi masa silam, dimana ia umpama rekod untuk memberitahu 'how-to' sesuatu kejadian berlaku, apa yg silap, apa yg perlu diulang.
Bagi individu dalam sejarah, saya rasa tidak ada, atau untuk menyedapkan hati, bagi saya mungkin ada beberapa org, terutama dalam bidang sejarah Melayu, sebab mereka buat revolusi yang orang lain tak berapa suka sebab takde pengetahuan tentangnya. Antaranya Poerbatjaraka sebab dia fasih bahasa Sanskrit dan tulisan-tulisan modified Brahmi kat Nusantara yang mana Pandit paling terer kat India pun tak mampu nak terjemah. Beliau orang Jawa tapi boleh tau satu-satu prasasti tu berbahasa Jawa atau Melayu walau pakai tulisan kawi.
S. Paranavithana sebab beliau ambil inisiatif buat kajian prasasti-prasasti Sri Lanka dan hasilnya ada prasasti Sri Lanka yang counter semua pembohongan Prasasti Tanjore yg syok sendiri dan 'loneranger' tu.
Prof Asmah Hj Omar. Beliau ni mmg lejen. Kalau beliau ni takde. Saya rasa bidang tamadun Melayu dan bahasa sedikit doomsday. :)
Chand Chirayu Rajan, beliau ni ada title diraja. Saya suka sebab beliau ni jujur dalam menceritakan sejarah Srivijaya. Beliau ambil kajian Sri Lanka yang sarjana India pinggirkan (sebab ada sebut Srivijaya counter balik Chola dan bebaskan Sri Lanka) juga rekod-rekod China sekali. Beliau ni tak bias.
Ini diantaranya. Saya taklah sampai menjadikan mereka idola. Tapi kajian mereka dan pendapat mereka banyak membantu saya. Selain rekod-rekod imperial China. Bagi saya, pengaruh terbesar adalah dari kitab suci Al-Quran, sebab di sana banyak kisah-kisah sejarah terutama tentang Firaun. Saya terkesan dalam Quran sebut Firaun perintahkan Haman 'bakar' tanah liat untuk bina 'bangunan' untuk 'dapat naik' melihat Tuhan Musa (Al-Qashash) ayat 38. Dari situ sendiri menyimpan banyak rahsia sebagaimana hari ini kajian mendapati batu-bata piramid itu sebenarnya 'pernah dibakar' sebagai salah satu proses mengeraskan.
S: Sebenarnya, penulisan tentang sejarah adalah suatu hal yang menarik. Topik sejarah itu sendiri banyak yang menarik. Tetapi kami lihat anak muda kini kurang mengambil perhatian tentang sejarah. Apa pandangan cik Srikandi? Perlukah kita revise sistem pendidikan negara kita misalnya?
J: Manusia akan bosan jika sejarah itu mematikan motivasinya. Perkara ini realiti sebab setiap negara akan hari ini memulihara sejarah dan cuba menafsirkan sejarah untuk tujuan motivasi tak kira dari segi bahan sejarah, bangunan atau seni seperti filem atau muzik. Bagi saya, pengolahan sejarah di Malaysia masih di tahap pak kaduk dan era kolonial yang berpaksikan karya-karya Raffles, Winstedt atau Shallebear. Nak menjadikan sejarah sebagai sesuatu yang pop dan cool kena buang mentaliti forum-forum elit yang poyo atau mengurung sejarah dalam bilik-bilik seminar. Kita tak boleh sekularisasikan sejarah sebab hasil yang sama apabila kita sekularisasikan agama. Agama terkurung dalam masjid-masjid atau pejabat agama sahaja. Dalam kes ini sejarah terkurung dalam arkib negara,muzium dan perpustakaan negara.
Bila mentaliti sejarahwan kolot, maka khalayak pun kolot dan membosankan. Beribu manuskrip Jawi dijadikan pekasam dan kimchi di arkib atau perpustakan negara tanpa diterjemahkan. Sebab itu saya tak hairan jika khazanah sejarah negara tiba-tiba sudah ada di British Museum atau Smithsonian sebab kebiolan sesetengah birokrat so-called kurator atau sejarahwan yg 'chauvinis'.
Jika nak revise-kan sejarah kita, kena buat sejujurnya. Tak payah nak ambil hati sesiapa. Sejarah tetap sejarah. Politik sampah kena buang jauh-jauh. Sekarang zaman langit terbuka, patut cross-reference makin mudah. Ini tidak, sejarah ditafsir mengikut sentimen.
Jadi moralnya, kena revisekan mengikut regional history. Sebab sejarah Malaysia berpaksikan kepada sejarah Melayu dan Nusantara. Bila diberitahu sejujurnya, semua puas hati, semua akui dan tak payah nak bertekak. Yang tinggal bergaduh nanti hanyalah ahli politik sahaja.
S: Okay, hal sejarah dan politik, hal sejarah dan konspirasi selalu berkait rapat antara satu sama lain. Apakah penulisan cik Srikandi cenderung kepada mana-mana pihak atau parti atau organisasi?
J: Siapa yang label yang ini 'sejarah' yang ini 'konspirasi'? Media kan? Sebab itu keluar filem National Traesure. Orang yang anggap sejarah adalah 'teori konspirasi' adalah kaki wayang yg sedih. Sejarah; Adalah yang menciptakan apa yang anda gelarkan 'konspirasi'. Bagi saya atau kami yang memerhatikan semua ini berlaku, ada pihak yg menciptakan 'konspirasi' supaya kerja-kerja mereka kelak menjadi 'teori konspirasi' yang orang ramai akan tonton sebagai "National Treasure" itu.
Penulisan saya indie. Saya tak memihak kepada sesiapa. Saya tak kacau sejarah bangsa lain, kaum lain. Saya menulis sejarah Melayu, dan mengulas sejarah dunia secara minor.
S: Dalam Emas Para Dapunta & Maharaja bab A Guy From Kementerian ada menceritakan pengalaman cik Srikandi menangani campur tangan pihak lain. Adakah ini sebab utama cik Srikandi ingin kekal anonymous? Atau soalan mudahnya, mengapa Cik Srikandi memilih untuk merahsiakan identiti?
J: Kejadian itu berlaku sebelum cadangan rombakan buku teks sejarah kita beberapa tahun lalu. Memang ada seorang pegawai yang sneak blog saya. Pembaca saya memang terdiri dari pelbagai lapisan masyarakat, dari pengarah jabatan, pegawai kerajaan, pensyarah, jurutera oil and gas dan sebagainya. Saya perhatikan mereka suka membaca artikel saya dalam blog saya juga di MistisFiles kerana tertarik dgn gaya bahasa saya yang mencorakkan penyampaian sejarah itu
Memang ada campurtangan yang menyebabkan saya inginkan privacy saya. Sebab saya ada kes dengan pihak muzium, perpustakaan, biro tatanegara dan kerabat raja. Ini disebabkan 'kelazeran' tulisan saya menghentam pihak-pihak tertentu dahulu. Saya juga dimusuhi oleh blogger-blogger tertentu kerana mengkritik sejarah versi mereka. Saya juga dibenci oleh proksi-proksi NED yg mahu sejarah Malaysia ditulis dgn objektif mendowngrade org Melayu dan muslim.
Jadi buat masa sekarang saya selesa kekal berprivasi begini. Dalam dunia offline pun saya bebas berjuang dalam bidang sejarah. Memang ada orang yang perasan terutama 2-3 orang di universiti yang cam gambar-gambar saya tu. Tapi saya buat dek jer. :D
S: Kita telah melihat banyak penulisan cik Srikandi di laman sosial. Bukan saja buku, di The Patriots dan Mistisfiles misalnya. Sangat banyak. Bagaimanakah Cik Srikandi menyelia penulisan cik Srikandi iaini membahagikan masa antara kerja kajian dan penulisan?
J: Mula-mula memang saya menulis sendiri. Sebagai penulis jemputan di MistisFiles, saya menulis mengikut musim atau kempen. Ia sekali-sekala sahaja. Kemudian saya jadi obses. Lama-lama saya dah overwhelmed. Lepas tu ada fans saya yang cadangkan outsource. Upah freelance atau kadang fans saya bantu-bantu sikit. Saya upah beberapa editor. Saya bagi poin-poin, mereka yang taipkan dan submit. Jadi kerja saya lebih mudah, just semak dan tambah sana sini.
Jadi saya boleh merancang antara kerjaya saya dan obses saya dalam bidang sejarah. :)
Contohnya mcm website baru saya ni historianlodge.historiansecret.com , saya upah seorang webmaster maintain laman saya ni. Kalau tak jenuh la saya.. kiki ;)
S: Cik Srikandi ada menyebut tentang obses. Adakalanya benar, untuk menjadi seorang penulis yang baik, penulis perlu obses. Tetapi ada dikalangan pembaca dan pengkritik kerap menggunakan dakwaan 'syok sendiri' terhadap penulis. Jika dakwaan ini ditujukan pengkritik kepada cik Srikandi, apa cik Srikandi ingin jawab?
J: Apa yg syok sendiri? Bagaimana yg dikatakan syok sendiri? Memang kebiasaan, orang mengatakan saya begitu begini, namun bila saya tanya; "yang mana yg salah?" tiada jawapan, atau kata-kata maki hamun sahaja. Ia sebenarnya begini, manusia menjadi musuh kepada apa yang tidak difahaminya. Dalam konteks saya, mereka keliru dgn pengetahuan lapuk dan kolot yg mereka terima sebelum tu. Jadi bila saya tulis begitu begini tentang sejarah, maka mereka akan pesimis dan mencebik. Namun tiada pula cadangan atau kritikan bernas untuk mewakili pandangan mereka itu. Bagi saya, mereka itu sebenarnya syok sendiri :) Saya bagi contoh seorang jurutera yang kritik saya syok sendiri, kemudian akhirnya memaki hamun saya selepas sentap dgn jawapan saya.
S: Terima kasih atas kesudian cik Sriakndi menerima temubual ini. Jarang dapat peluang seperti ini. Ramai orang ingin menemubual cik Srikandi melalui kami (penerbit), tetapi kami kekal dengan polisi privasi yang telah dipersetujui. Jadi, silakan Cik Srikandi beri kata-kata terakhir kepada pembaca dan pengikut Cik Sriandi.
J: Terima kasih juga atas temubual ni hehe... Saya amat menghargai inisiatif Terfaktab Media khasnya. Kata-kata terakhir? Huhu. Okaylah, saya nak beritahu bahawa apa yang saya tulis secara major adalah tentang sejarah yang saya benar-benar kenal, dalam konteks ini, ialah sejarah Melayu, sejarah bangsa saya. Saya tidak menulis atau mengacau sejarah kaum lain .Namun, ada pihak yang tidak suka. Ini menunjukkan sejarah kamu (para pembaca dan pengikut saya) memiliki satu 'kuasa' yang kamu tidak mengerti pada hari ini. Namun bila nasi semuanya menjadi bubur kelak dan kamu terhukum oleh kegoblokan kamu mengabaikan kepentingannya, maka pd hari itu, kamu akan mendapatkan kebijaksanaannya (wisdom).
Tetapi saya ingin syorkan sesuatu; Adalah lebih baik mendapatkannya pada hari ini dalam keadaan kamu masih hidup selesa berbanding pada hari kamu terhukum itu. Setiap bangsa di dunia menjaga dan menyayangi sejarah mereka, mengapa tidak kamu? Mencintai sejarah sendiri bukanlah satu dosa; Patriotisme adalah satu kemuliaan. Kesusahan ekonomi acapkali disebabkan ahli politik yang dungu, bukannya sejarah, kerana sejarah mengajarkan tamadun dan peradaban.