Saturday 14 September 2013

Buku Baru : Kamar Sutera


Kamar Sutera merupakan buku terbaru dari Terfaktab Media untuk bulan September 2013 ini. Merupakan tulisan penulis blog keretamayat.blogspot.com atau dikenali Hamka Kereta Mayat, buku ini mengisahkan kisah kehidupan laki bini yakni dari Hamka sendiri. Islamik, namun digarap dengan unsur humor, sindiran dan ilmiah dalam memastikan perkahwinan laki bini #TillJannah. Sesuai juga untuk belia yang ingin berkahwin dan ingin melihat lebih dekat kehidupan perkahwinan secara 'Islamik' itu sebagaimana. Kurang sesuai untuk 18 tahun ke bawah melainkan berangan nak kahwin lepas SPM. Itu dikecualikan.

Sudah boleh dibeli di laman online www.terfaktab.com dan akan dilancarkan pada 14 September 2013 di Danga Bay, Johor Bahru bersempena Johor Bahru Writers and Readers Festival. Bakal memasuki pasaran toko buku Kinokuniya, MPH dan Kedai Buku 1Malaysia mulai bulan hadapan. Apa lagi, tilljannah la~


Thursday 12 September 2013

Favourite Brownies

" Aku rasa aku jatuh...jatuh hati. "

Satu garis susunan ayat yang terluah jauh, tapi telinga aku masih mampu mendengar frikuensi vibrasi suara yang separuh tenggelam dalam gelak ketawa seribu umat manusia. Mahu tersenyum juga serba salah, kerana hanya jatuh aku yang pasti. Jatuh yang kau ucapkan itu mungkin untuk perempuan ayu yang berjalan di sebelah kiri. Jadi akhirnya aku abaikan. Aku butakan mata aja, muka putih kelabu biru dengan rambut merah.

Sekerat hati sudah aku beri, sekerat hati lagi aku jadikan aras pemberi idea menyusun kata, biar pun aku sedar aku bukan seorang pujangga ulung yang mampu menyimpul rasa. Bukan juga yang terbaik atau yang tercantik. Bila mana yang tersirat di balik senyuman akhirnya terluah, separuh mati juga aku menahan nafas ketidakpastian. Takut, cuak.

Tapi izinkan juga aku cuba cuba menulis serabut akal, supaya kamu yang disana boleh memahami. Supaya nanti jika tidak berkesempatan berjumpa, kamu yang disana boleh terus hidup dengan tenang. Supaya nanti jika kisah yang kita tulis tidak berkesudahan gembira, kamu yang disana boleh terus berjalan dengan girang. Supaya nanti, walau apa pun yang terjadi, mohon kamu yang disana jangan cuba cuba menoleh ke belakang. Harus sentiasa ke depan, hati kamu yang disana harus penuh dengan harapan.



Jadi aku mulakan dengan satu kata yang mungkin lebih dua ribu kali diucap; maaf. Jika mampu, sekarang juga aku mahu hulurkan sepuluh jari mohon dihalalkan segala kesilapan. Kerana dalam separuh sedar, aku jatuh. Sudah dicuba juga untuk menahan rasa, cuba untuk tidak tersungkur. Akal masih ligat bekerja keras menghadam segala yang logik dan realistik, tapi tangan sendiri juga masih menghulur secebis demi secebis masa yang tak akan dapat kita tarik kembali. Dan untuk setiap memori yang aku lukis dalam diam, penuh licik, penuh rakus dan tamak, aku ucapkan maaf.

Segala yang normal kini rasa sungguh janggal. Ganjil, seperti rutin ke kelas dan bernafas adalah satu perkara baharu. Padahal bila difikir kembali, elok sahaja aku hidup tanpa kamu dahulu. Bila difikir persoalan definisi antara kita, terdiam lidah membisu tanpa jawapan. Puas ditanya pada diri, dari terang bulan hingga kucupan terakhir dari matahari. Masih juga kekal kosong.

Atau mungkin kerana aku juga masih penuh dengan luka, dan mungkin engkau pun sama. Mungkin jaringan arah kehidupan kita bertembung, dan kita bersama. Tapi siapa tahu akan hari esok? Dalam pincang perang akal, hati dan pintalan gumpalan takdir yang Tuhan lakar, aku mengambil jalan mudah untuk melepaskan. Melepaskan segala permasalahan yang ada dan menari laju tanpa lagu. Bertepuk seorang juga berbunyi, bertepuk lah dengan hati sendiri. Rabak dan parah itu aku tenangkan dengan senyuman dan empat das peluru keamanan, kerana masa bukan dalam kawalan. Masa akan tetap pergi. Biar patah segala urat memaksa, bengkok belakang penuh bisa. Aku gali kuat dan tabah, adunkan bersama menjadi acuan brownies, lantas dihidang panas dengan cip coklat. Buat kamu, hanya untuk kamu. Kerana ini saja yang aku mampu beri, your favourite brownies. Dan juga secebis rasa tanpa janji.

Terbang jauh, kesatria, terbang tinggi,
dari jauh sang permaisuri akan menanti.

Jika ini untuk yang terakhir kali,
maafkan saya sekali lagi.

Jika bukan,
semoga kita berjumpa lagi.