Friday 3 November 2017

Penutupan Terfaktab

MAKLUMAN & HEBAHAN


Pada November 2017 ini, Terfaktab akan menyambut ulang tahunnya yang ke-7. Sepanjang 7 tahun Terfaktab di dalam arena penulisan dan perbukuan, kami telah menempuh pelbagai rintangan dan kejayaan dalam memandaikan masyarakat dengan buku-buku terbitan kami.

Namun, segalanya seakan tidak menjadi dalam 2 tahun kebelakangan ini akibat kesan kelembapan ekonomi, penurunan mendadak minat membaca masyarakat terhadap buku dan masa depan industri buku yang terumbang-ambing.

Hal ini membuatkan kami terpaksa melakukan keputusan yang berat dan pahit.

Dukacitanya kami ingin memaklumkan bahawa Terfaktab Media akan menutup operasi penerbitan pada akhir Disember 2017 ini.

Keputusan yang berat ini merupakan keputusan sebulat suara anggota dan wargakerja Terfaktab Media setelah mendapat pandangan daripada pelbagai pihak. Bak kata pepatah; "Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul."

Sehubungan dengan itu, sebelum penutupan operasi Terfaktab Media pada akhir Disember 2017, kami akan adakan GOOD BYE SALE, atau Jualan Selamat Tinggal bagi meringankan beban yang kami pikul selama ini.

Jualan ini boleh anda dapatkan secara WhatsApp ke 016 256 7476, secara ke laman web kami di www.terfaktab.com atau anda boleh terus ke pejabat kami di 16-29 Plaza Azalea Shah Alam. Kami juga akan melebarkan jualan ini di booth event yang kami sertai kelak.

Ini juga adalah peluang terakhir kepada anda, para pembaca, bagi mendapatkan semua buku-buku terbitan kami yang tidak akan dicetak lagi dengan harga lelong. Kami berharap anda mendapat manfaat yang baik melalui buku-buku kami.

Terfaktab Media telah menerbitkan pelbagai buku yang selaras dengan prinsip "Bikin Buku Bagus", antaranya;

Rentaka Sekalian Bijasura yang merupakan buku mengenai sejarah Nusantara. Semoga Tuhan Merahmati Sains, buku mengenai fizik yang dibuat untuk memudahkan kefahaman tentang sains. Antara kejayaan yang kami berbangga selama penglibatan 7 tahun ini ialah menerbitkan novel Inggeris The Boy Who Lost His Sight yang terjual ke seluruh dunia terutama di Amerika Syarikat.

Banyak lagi buku-buku bagus yang boleh anda explore di dalam website kami seperti novel-novel Melayu seperti Misteri Mimpi Yana, sebuah novel interaktif pertama di Malaysia. Siri Kitab Terfaktab, yang merupakan buku bersiri tentang perbincangan hubungan manusia. Juga buku-buku antologi seperti antologi Suamiku yang dibuat khas untuk menggembirakan perasaan anda yang sedang berduka dengan masalah rumah tangga. Sekali lagi, ini adalah peluang terakhir anda untuk mendapatkan buku-buku kami dengan harga yang berpatutan sebelum kami mengundurkan diri dalam arena ini.

Akhir kata, kami ucapkan jutaan terima kasih buat anda semua sebagai pembaca yang telah memberi sokongan tidak berbelah bagi selama ini. Mungkin kita sudah tiada jodoh untuk terus bersama. Jika ada rezeki di lain hari, kami akan kembali semula bersama anda semua.

Sekian,

Dengan hati yang berat,
Warga kerja Terfaktab Media.