Thursday 19 March 2015

Wahai kawan.

Hai kawan. Apa khabar?

Pejam celik, pejam celik dah hampir tiga tahun kita semua berkenalan dan belajar kat sini (mana-mana universiti awam atau swasta). Masa mula-mula kenal, ada yang berpasangan sama ada pakwe atau makwe. Namun, ada juga yang tak pernah bercinta malah ada yang langsung tak pernah terfikir untuk bercinta. Masing-masing dengan cerita masing-masing.

Begitu juga ceritanya dengan aku. Awal-awal aku dah set tak nak bercinta sebab tak nak fokus untuk belajar terpesong la (konon). Tapi nafsu remaja membuak-buak woi bila masuk universiti. Maklumlah makwe yang entah dari mana tiba-tiba boleh wujud kat tempat belajar. Mulalah rasa nak bercinta jugak.

Runtuh tugu imanku, sayang.

Aku sebenarnya tak reti nak tulis deep sangat. Dan aku tulis ni bukan nak cerita pasal aku. Tapi nak cerita tentang kita semua iaitu kawan.

Sudah tentu aku berkawan lebih ramai dan rapat dengan lelaki in real life berbanding perempuan. Hal ini demikian kerana ego atau perasaan malu serta rendah diri yang ada dalam diri ini (mungkin tipu). Kalau perempuan aku lebih menggunakan pendekatan laman sosial. Tapi memang seronoklah berkawan dengan kawan-kawan kita sebab masing-masing perangai macam orang gila pun ada kan? Tak kira lelaki atau perempuan, pengkid atau pondan, gay atau lesbo, masing-masing tetap ada kegilaan dan unik. Walaupun gila-gila tapi hati mekar berbunga.

Perkara biasa bila sebut pasal berkawan dalam kalangan pelajar universiti ni memang tak lari dan mesti ada walau sekelumit perasaan untuk bercinta sesama kawan sekelas, betul atau tidak? Bagi aku betul, berdasarkan pengalaman yang dilalui. Maka bermulalah drama cinta sang dara dan teruna memadu cinta yang mula mekar bersaksikan kawan-kawan sekelas yang lain. Susah untuk menipu kalau cinta kampus kerana pada akhirnya akan terbongkar juga hubungan tersebut. Kalau tak terbongkar pun mesti ada ‘detektif’ yang menyiasat lalu membongkarkan. Memang tak boleh lari.

Selain itu, ada juga yang bercinta atas dasar rekomen dan galakan dari kawan-kawan. Kategori ni aku susah sikit nak definisi sebagai aktiviti yang baik atau buruk. Orang yang memang tak tahu menahu tentang percintaan seperti dipaksa untuk bercinta. Ibarat mak bapak yang dah aturkan perkahwinan anak mereka. Tapi atas dasar galakan tadi, maka bercintalah dua insan tersebut atas pengaruh dan rekomen kawan-kawan. Ibarat kahwin dahulu baru bercinta kerana mak bapak yang paksa.

Akhir sekali, aku nak juga sentuh pasal percintaan yang telah merenggangkan hubungan sesama kawan. Mengikut pemerhatian aku dan mungkin anda juga perasan, kawan-kawan yang bercinta ini akan lebih mengutamakan pasangan mereka berbanding kita yang terlebih dahulu mengenali mereka. Mungkin isi ini berbaur kekecewaan tetapi harus diakui kebenarannya. HAHA Bagi aku, kalau pasangan mereka yang betul-betul memberi motivasi dan semangat untuk mereka belajar memang aku tak kisah. Tapi kalau sampai pasangan mereka yang mengawal tingkah laku mereka sehingga nak ajak lepak sekaki pun payah, memang parah dah.

Jadi, aku nak pesan kepada diri aku sendiri. Bercinta biarlah berpada-pada kalau masa belajar ni sebab ada banyak kerja lagi kena buat. Untuk peringatan aku sendiri jugak, masa bercinta memang tak boleh nak lari dari ego dan hipokrit terhadap diri sendiri.


Sekian, dari kawan untuk kawan.

Sunday 8 March 2015

Kita semua rasa.

Losing =  emptiness

Apabila kau hilang someone yang kau sayang, mesti akan ada sekelompok manusia yang hidup sekeliling kau berteriak umpama mereka faham apa yang kau rasa. Time tu juga tiba-tiba muncul manusia yang  berteriak lantang seolah-olah mereka tahu kau ni jenis orang yang macam mana, dan tahu strategi yang kau akan guna untuk settle semuanya.

Tetapi, dalam kelantangan mereka berkata umpama mereka peduli tentang semua benda. Tak ada seorang pun yang jujur dengan kau, bukan tipu, cuma tak jujur. Percayalah, dan aku rasa kau sendiri pun tahu. Tak ada seorang manusia pun yang betul-betul faham perasaan kau, yang tahu keadaan kau bila kau melepet kesepian dekat rumah sensorang, yang peduli bila kau terlentang atas katil meratap langit yang terbentang, tak ada siapa tahu macam mana duka lara kau rasa bila kau menangis menjerit sensorang.

Kau ingat mereka peduli?

Tak ada siapa peduli.

Aku pasti.

Mati hati ni sebenarnya lebih kurang je dengan mati jiwa. Cuma bila mati hati, kau masih diberi peluang untuk teruskan hidup dan bina segalanya semula, itu bezanya.

Bila kehilangan, mesti akan ada proses pembentukan semula. Mencari semangat untuk bangun dengan gagah memapah segala kudrat dan kehendak yang ada untuk mengutip sisa-sisa cebisan yang berderai. Memang makan masa, ada yang mengambil masa dua tiga minggu, ada juga yang berbulan-bulan dan bertahun lamanya. Bila dah lepas stage meratap, bila kekuatan dah ada dan segala kudrat dah dihimpun bersama. Kau sendiri akan bangun tersenyum dan merasa sebenarnya dunia ni tak ada lah sekejam mana yang kau, aku, dan kita semua sangka. Tetapi, nanti, akan ada benda yang mendorong kau mengenang kenangan lama.

Aku pasti, pasti ada.

Kau fikir kau dah terima rasa kehilangan tu, tapi satu benda jadi.

Puff!

Umpama magis, sekelip mata sahaja.

Buat kau rasa kau kehilangan benda yang sama. Sama macam dulu yang kau rasa.

Ramai orang percaya bilamana kita dah berjaya lompat keluar dari satu dimensi yang penuh kesedihan kita dah berjaya lari dari luka lama. Sebab apa? Sebab orang kata,

“Kenapa nak ingat luka lama, bila yang suka dah ada depan mata?”.

Tetapi kita lupa, tiap yang terbuka tu perlu ditutup semula. Kau takkan mampu baiki semua luka dalam satu masa. Macam mana kau belajar menjadi manusia dari sekecil bayi sampai sebesar hari ini, macam itu juga lah kau perlu bangun dan belajar memperbaiki hati. Langkah demi langkah. Kau takkan berjaya tutup semua luka bila dah ada suka depan mata, tapi kau akan kutip satu persatu cebisan jiwa yang kau hilang dan cantumkan semula bila tiba masa.

Kau akan rasa mati hati berkali-kali, tapi sakit tu kau akan rasa berkurang sedikit demi sedikit saban hari.



Suka dan duka tu sebenarnya satu benda yang saling berkait, kau takkan dapat salah satu tapi kau akan rasa dua-duanya sekali. Kau nak suka? Kau kenalah rasa dukanya. Tapi ingatlah, bilamana kau cuba tempuh saat kehilangan jangan cuba berlagak seperti kau dah cukup kuat untuk hadap semua sakit tetapi cuba belajar untuk kuatkan hati. Set kan minda kau sendiri yang mana bila orang yang kau sayang mati dalam jiwa, tak semua benda dalam dunia ni mati bersama dia. 

Menangislah semahunya, meratap lah bagai gila dan ambil masa seberapa lama mana pun yang kau ada. Fikirlah, dalam kau menangis cuba berusaha membaik pulihkan jiwa dan keadaan, akan ada manusia lain dalam masa yang sama yang sedang tersungkur terjelepuk jatuh dan menahan kesakitan sebab kehilangan.

Dalam menempuh hari yang mendatang, pasti akan ada hari kau hilang orang yang kau sayang, kau patah hati. Kau kena tahu yang kau takkan mampu lenyapkan semua luka dalam kotak masa yang kau ada sebab kau cuma manusia biasa. Kau bukan adiwira. Kau tak ada superpower.

Semua yang jadi, bersebab. Kau takkan dapat jawapan terus menerus kepada setiap persoalan. Cuma simpan rasa percaya, dan jaya tu akan datang sendirinya. Dunia takkan bentangkan semua dan suap kau dengan jawapan kepada soalan yang kau hamburkan, tetapi dunia akan mengajar kau cara untuk mencari tiap langkah kepada jawapan.

Dunia tak kejam macam yang kita sangka.

Mungkin dalam tiap kemanisan, pasti ada kelukaan.

Tetapi jangan lupa, dalam luka tak mustahil ada manisnya.


Thursday 5 March 2015

Aku di Sudut Belakang

Jauh di belakang, di sudut yang mungkin ada manusia tidak langsung tahu kehadiran aku. Aku melihat segala perilaku kamu. Ketawa. Bergurau senda. Bercerita tentang indahnya hidup kamu. Tentang segalanya yang membawa ketenangan. Kamu lebih segar begitu barangkali.

Aku terus perhati. Sama ada kamu sudah lupa atau tidak, aku pernah berada di depan kamu sebelum aku terperosok di belakang ini. Mungkin orang lain tidak pernah tahu ataupun mahu tahu apa yang telah berlaku. Tapi, aku tahu kamu pernah menjeling aku di belakang. 

Percayalah, sejarah telah terlakar walau pahit yang telah kita tempa. Aku pernah ada untuk kamu dan kamu juga pernah ada untuk aku. Masing-masing seperti saling perlu ketika itu. Gelak. Ketawa. Malah kau pernah mengajar aku perihal tangisan.
"Menangislah kerana kuat dan cekal, bukan menangis kerana keseorangan," kata kamu. Ya, aku sebenarnya tidak lagi cuba untuk menangis selepas aku undur dan duduk di belakang ini. Kerana aku tiada sebab untuk menangis setelah kamu lenyap ketika mata aku masih jaga. Mungkin aku sedikit terleka membiarkan kamu mencipta bahagia yang mungkin tidak pernah aku ajarkan. Jadi, apa-apa pun yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku maka aku terus berada di belakang ini. Kalau kamu berasa ingin berehat daripada berada di hadapan, maka ketahuilah yang aku ada di sudut belakang, yang mungkin kamu rindu.

Sudut ini mungkin sempit, tapi hanya ada aku. Mungkin kamu juga, kelak.