Jauh di belakang, di sudut yang mungkin ada manusia tidak langsung tahu kehadiran aku. Aku melihat segala perilaku kamu. Ketawa. Bergurau senda. Bercerita tentang indahnya hidup kamu. Tentang segalanya yang membawa ketenangan. Kamu lebih segar begitu barangkali.
Aku terus perhati. Sama ada kamu sudah lupa atau tidak, aku pernah berada di depan kamu sebelum aku terperosok di belakang ini. Mungkin orang lain tidak pernah tahu ataupun mahu tahu apa yang telah berlaku. Tapi, aku tahu kamu pernah menjeling aku di belakang.
Percayalah, sejarah telah terlakar walau pahit yang telah kita tempa. Aku pernah ada untuk kamu dan kamu juga pernah ada untuk aku. Masing-masing seperti saling perlu ketika itu. Gelak. Ketawa. Malah kau pernah mengajar aku perihal tangisan.
"Menangislah kerana kuat dan cekal, bukan menangis kerana keseorangan," kata kamu. Ya, aku sebenarnya tidak lagi cuba untuk menangis selepas aku undur dan duduk di belakang ini. Kerana aku tiada sebab untuk menangis setelah kamu lenyap ketika mata aku masih jaga. Mungkin aku sedikit terleka membiarkan kamu mencipta bahagia yang mungkin tidak pernah aku ajarkan. Jadi, apa-apa pun yang telah berlaku, sedang berlaku dan akan berlaku maka aku terus berada di belakang ini. Kalau kamu berasa ingin berehat daripada berada di hadapan, maka ketahuilah yang aku ada di sudut belakang, yang mungkin kamu rindu.
Sudut ini mungkin sempit, tapi hanya ada aku. Mungkin kamu juga, kelak. |
No comments:
Post a Comment