Monday 17 August 2015

Temubual Terfaktab Episod 2 Bersama Embun Karina



Embun Karina merupakan seorang pemuisi independent yang aktif di tanah air. Sehingga kini Embun telah menghasilkan satu solo-work bersama Selut Press dengan judul Bandaraya Bougainvilla dan sebuah cerpen dalam Kitab Terfaktab Pasca Gelap.

Pada tahun ini, Embun turut terpilih untuk menyampaikan puisi-puisinya di Asian Literary Festival Jakarta. Jom kita temubual Embun dan menyelingkap dunia literary beliau.

S = Soalan
J = Jawapan Embun Karina

S: Hai Embun, apa perkembangan terbaru kau sekarang? Ada solo work terbaru yang akan rilis?

J: Perkembangan terbaru untuk tahun ini adalah persediaan untuk tahun hadapan. Ya, secara kebetulan juga semasa ke Jakarta tu aku berurusan dengan beberapa pihak bagi menjayakan solo exhibition berkenaan artwork yang akan dipamerkan kelak dekat sana. Juga sedang mencari ilham serta idea untuk skrip teater terbaru. 

Buku terbaru, InsyaAllah ada buku kolabrasi bersama Malam Puisi Jakarta. Iaitu salah sebuah kolektif juga penaung puisi di Indonesia. Yang lain-lain ada, namun kesemua itu sedang dalam draft. Nak sembang lebih, aku jenis buat diam-diam dulu baru show kerja. Baru menjadi. 

S: Tahniah untuk perkembangan terbaru kau yang mengujakan. Kami lihat kau gemar dengar genre sentimental seperti cerpen kau dalam Kitab Terfaktab Pasca Gelap yang banyak menyentuh hal kematian. Apakah ini genre yang kau suka atau kau lebih suka bereksperimen?

J: Aku seorang yang suka mengeksperimentasi keadaan dan emosi. Juga aku mementingkan naratif dalam sesebuah karya dengan apa yang aku cuba sampaikan kepada pembaca. Aku seorang yang tak reti nak menulis mengenai hal-hal kebahagiaan atau kegembiraan. 

Sebenarnya, cara pembesaran aku yang menyebabkan aku dewasa sebegini. Ianya memang banyak mempengaruhi aku sehingga sekarang. Mungkin tiada siapa yang jangka, aku membesar dengan seorang ibu yang mempunyai penyakit mental yang pernah dimasukkan dekat Hospital Tanjung Rambutan, Perak. Ketika itu aku masih kecil. Aku melihat sendiri gaya dan corak kehidupan aku yang sudah terang-terang membuatkan aku diejek, dibenci dan tak disukai. 

Tapi aku juga berterima kasih, kerana dengan apa yang terjadi sekarang membuat aku menghargai keluarga dengan sebaiknya.

S: Apakah ini bermaksud seseorang author itu gaya penulisannya lebih banyak dipengaruhi dengan cara hidup? Bagaimana pula kau rasa dengan author yang menulis bukan based on gaya hidup. Adakah itu bermakna dia lebih bijak daripada author lain?

J: Bagi aku. Buah tangan tulisan, yang masih baru kita sendiri boleh agak pasal pengalaman hidup sendiri. Kalau seseorang penulis itu mampu menulis sesebuah karya yang bukan dialami oleh dirinya sendiri dia adalah penulis yang mampu membuat pembaca percaya itu adalah ceritanya, bagi aku itu bonus bagi dia. Ilham. Kita tak boleh sangkal. 

Tapi bagi aku sendiri, aku seorang yang perlu ada dalam keadaan itu sendiri baru aku dapat tonjolkan perasaan itu. Mungkin lebih tepat, apabila menulis aku betul-betul memberi sepenuh jiwa raga aku. Sehingga aku sendiri rasa menangis dan sakit. Penulis bermain dengan kata kata. 26 huruf kau boleh olah. Bukan kira jujur atau tidak dalam karya sendiri. 

Itu perasan dan pemikiran kau. Tetap kepunyaan kau.

S: Mengapa kau fokus pada puisi? Tidak mahu cuba dengan novel atau novela?

J: Mengapa fokus pada puisi? Hmm. Puisi ini adalah tempat perselindungan aku. Sebab aku jenis tak reti dan pandai berterus terang. 

Aku banyak memendam dan berfikir kemudian. Aku juga sedang cuba menulis novel atau novela, tapi yang jadinya cerpen sahaja. Mungkin sebab aku tak suka tulis panjang-panjang sebab rasa kurang sabar nak tamatkan sesuatu penghasilan karya. 

Dalam pada tidak itu, aku masih belajar menulis supaya penulisan aku menjadi mantap, sebab aku rasa aku terlalu muda dalam dunia penulisan. Huruf-huruf yang aku nukil pun baru berpucuk.

S: Siapa inspirasi kau dalam bidang penulisan?

J: Siapa yang menjadi inspirasi? Jika dalam bidang penulisan aku membaca pelbagai jenis karya dalam kesemua penulis. Contoh A.Samad Said. 

Namun begitu, sejak dari sekolah menengah sehingga zaman Universiti aku aktif dalam persatuan bahasa. Juga melibatkan diri dalam syarahan bahasa melayu, pidato dan debat. Selalunya aku membuat teks sendiri. Jadinya, menulis mengenai artikel atau fakta untuk diusulkan itu sudah lama menjadi makanan sepanjang penglibatan aku dalam bidang bahasa.




S: Kami lihat kau pernah terpalit dengan kontroversi, dan kau hadapinya dengan tenang, satu persatu. Bagaimana kau boleh masih bertahan dalam dunia literature Malaysia yg pernah dilabel kejam ini?

J: Bagi aku. Akhirnya........sekali, tak ada yang peduli. Tak ada yang kesah dan tak ada yang mampu mengenali kau melainkan orang lain sekalipun. Tak ada yang nak tolong kau melainkan diri kau sendiri. 

Seberapa lama dan ramai orang yang mengenali kau atau bertahan dengan kau atau stay dengan kau, ianya sekadar bayang hitam. Aku selalu menyakinkan diri dan aku nak buat apa yang aku nak buat. Aku ada pencapaian untuk diri aku dalam kehidupan aku. 

Mengapa aku perlu terpalit dengan kata-kata manusia yang langsung tak memberi sebarang manfaat. Bukan senang nak hidup dalam kebencian orang ni. Satu yang penting, aku tak ada kacau orang, jadi aku kena persetankan apa orang nak kata. Percaya diri. 

Ada jalan untuk setiap permasalahan. Belum tentu sekarang, tapi percaya esok sentiasa menjanjikan hari baru.

S: Okay bercakap tentang puisi. Kami amat kagum dengan pengolahan all 'B' title dalam Bandaraya Bougainvilla. Jadi, kau pun tahu sekarang orang asyik bandingkan puisi moden/pop dengan puisi klasik. Sampai ada beberapa judul buku dikecam di laman sosial. Apa pandangan kau tentang hal ini selaku pemuisi?

J: Mengenai perbandingan puisi klasik dan moden. Mungkin mereka ini kurang pendedahannya. Bagi mereka puisi sajak dan sebagainya itu adalah lambang kemelayuan bangsa melayu. Jadi perlu dipelihara. 

Sememangnya, dalam kehidupan seharian kita pun, kita menghasilkan satu gerak seni. Seni itu meluas, mungkin tak diterima sebab bagi mereka puisi puisi atau sajak itu terlalu biasa. Bahasa mudah dan rutin yang kita guna. 

Apabila terlalu biasa, mereka menganggap itu bukan puisi, itu hanya sekadar biasa. Sedang dalam karangan atau sesuatu, cara menunjukkan karya itu diperlihat atau dipersembahkan itu lebih membuat kita dapat tangkap berbanding patah kata yang hanya dalam kertas. Pemilik puisi juga perlu visualkan. 

Oleh itu pembaca atau mereka yang melihat itu akan memahami. Kita tak boleh memarahi mereka oleh kerana mereka tidak memahami, tetapi kita cuba memperlihatkan mereka apa yang kita cuba sampaikan. Dan, mereka hanya cuba faham apa yang mereka faham. 

Aku percaya mereka yang benar ingin mendalami penulisan sesuatu takkan mengeluh dengan karya seseorang, melainkan dia betul nak tahu perbezaan dan bukan mengikut trend hanya untuk mencemuh.

S: Seni itu subjektif. Adalah benar kita tidak boleh menghakimi suatu literature dengan terlalu mudah. Jadi, apa yang kau ingin lihat, atau apa yang kau impikan mengenai dunia puisi-literature negara kita?

J: Pada pemerhatian aku sekarang, sudah ramai dan banyak yang mewujudkan akaun puisi dekat laman sosial. Juga, memperkenalkan tema pada setiap malam. Ianya bagus, aku juga bermula dekat situ, cuma mereka tidak menonjolkan siapa mereka. Mungkin mereka perlu kehadapan. Scene puisi ketika ini "meraikan" macam aku pernah lihat dan mengalami sendiri corak perjalanan puisi di Indonesia. 

Berpuisi bukan untuk mengejar nama, menjadi pemuisi yang memahami dalam bait bait tulisan yang "kena" dengan hati dan naluri pembaca. Akan tetapi, perkongsian. Aku meraikan pemuisi-pemuisi baru dan muka muka baru dalam scene ni. Kalau tak dapat mana-mana penerimaan oleh mana mana penerbit sekalipun untuk dibukukan, buat secara sendiri. Sudah tentu nanti kita akan ada pengikut yang mengikut setiap perjalanan kita dalam menulis. Ambil masa. Usaha lebih dan InsyaAllah nanti akan ada yang hargai perjuangan kita dalam scene puisi ini. Jangan matikan semangat dan terus berjuang. 

Jadi anak-anak muda yang ketandusan cinta, jangan terlalu cepat membuat keputusan membunuh diri, gunakan perasaan itu dan bentukkan kata kata. Berpuisilah. Itu salah satu cara melawan kepiluan juga. Hahahahah.

S: Jadi soalan seterusnya kami nak tanya kau tentang apakah ada perbezaan yg nyata dari segi jantina/paras rupa dalam dunia puisi ini? Yang cantik boleh pergi jauh, yang kurang cantik boleh pergi mereput?

J: Mengenai penampilan diri, tak semestinya cantik atau handsome baru boleh pergi jauh. Ia bonus. Kalau kurang dari segi personaliti. Kemaskan diri dengan cara tersendiri. Memang sifat manusia itu suka benda yang cantik cantik, nampak sempurna. Kalau nak memikat burung dekat hutan, pastikan siulan kau merdu, sungguhpun burung tu tak tahu siulan tu kepunyaan siapa. Yedak? 

Yang bagus, jadi sahaja diri kau, cari personaliti tersendiri. Sudah tentu orang terima cara kau. 

S: Terima kasih atas kesudian untuk temubual ringkas ini. Kami harap kau sukses dengan karier kau. Soalan terakhir kami lebih kepada permintaan. Tuliskan satu puisi spontan yg ringkas (tema bebas) untuk kau tujukan kepada pembaca yang membaca temubual ini.

J: Terima kasih juga kepada pihak Terfaktab kerana sudi menemubual. 

Tajuk. Bibit Bermula Aku Dalam Kandungan Ibu.

Aku melihat mata kecil anak kita dalam renungan mata kau.

Cahaya silau, menangkap mata sehingga aku kabur melihat keikhlasan. Ada bisik-bisik mengejar dusta, juga riuh rendah ketawa pembohong besar. 
Ujar laki laki, aku menjagamu sehabis nyawa.
Perempuan menangis mendengar janji pada bibir laki laki yang membuntingkan.
Apa benar aku ini berbenihkan bapa itu?
Atau saat manis adalah perjalanan sebuah tangis?
Perahu kecil masih belayar
Hujan rintih rintih.
Dan bulan, merakam malam sebuah potret perempuan yang tertinggal bersama dosa yang cuba dihentikan.
Terus apalagi yang ada melainkan darah darah dara?
Ibu tiada kasihan. 
Nyawa habis dikoyak koyakkan.

Puisi spontan ini merujuk kepada isu semasa sekarang, berkenaan bayi yang dibuang. Mungkin situasi bayi tiada berkata namun perempuan, jagalah diri. Nikmat sedap hanya sekejap. Tangis dosa silam itu sehari hari.


Tamat. Ikuti Embun Karina di laman Twitter beliau; Embun Karina
Jumpa korang pada episod 3 dengan penulis lain pula. Zass~~

Wednesday 12 August 2015

Temubual Terfaktab Episod 1 Bersama Syahid Abdullah.


Buat yang ingin tahu tentang Syahid Abdullah. Beliau telah hasilkan dua solo work iaitu novel Servis Satu Malam terbitan Terfaktab dan Bukan Perempuan Sundal (self-published dan terbitan Dubook Press).
Syahid juga kini aktif dengan stand-up comedy dan baru-baru ini telah mempersembahkan stand-up comedy di Komediri yang dihoskan oleh Harith Iskandar.
S = Soalan
J = Jawapan Syahid Abdullah
S: Apa perkembangan terbaru kau sekarang dalam penulisan? Ada plan nak rilis novel baru?
J: Insya Allah dalam proses. Tapi dek penangan kekangan masa (malas), proses belum jadi produk.
Novel yang dalam proses ni secara kasarnya bertemakan cinta anti mainstream yang memaparkan cinta itu adalah keperluan manusia dan yang paling penting, cinta bukan hanya milik orang kaya seperti yang kita tonton dalam drama.
Aku juga ada plan nak bukukan pengalaman aku buat macam-macam jenis kerja dalam hidup ni yang aku rasa tema dia kelangsungan hidup (survival). Pengalaman aku tolong abah aku kutip getah, kerja pam minyak, jaga kedai, kesukarelawanan, teater dan terbaru stand up comedy. Kahkahkah
S: Kami lihat kau gemar dengan tema pulp dalam novel kau (Servis Satu Malam), apakah yang bagusnya pulp dalam sesebuah penulisan?
J: Pulp ni apa entah dalam Bahasa Melayu. Tapi apa yang aku faham, aku suka kalau aku boleh buat pembaca berfikir dan mengaitkan apa yang mereka baca dengan apa yang berlaku dalam kehidupan seharian.
Dan tak boleh dinafikan, karya-karya pulp/junk ni belum lagi dapat liputan meluas dalam kalangan pembaca kita. Jadi sebagai penulis, aku kena cari titik keseimbangan pulp dan norma baru pembaca sedikit sebanyak dapat idea apa yang aku nak sampaikan.
Samalah macam stand up comedy. Audiens/pembaca memainkan peranan yang sangat penting dalam karya dua hala ni. Comedian kena pastikan audiens boleh ikut cerita, faham cerita dan ketawa bila punchline sampai dan pecah perut bila dapat twist dalam jenaka.


S: Solo work kau misalnya dalam Servis Satu Malam ada adegan dewasa. Kalau orang tanya ke kau, apakah perlu adegan dewasa dalam sesebuah karya. Apa kau nak jawab?
J: Semua ni sebenarnya ikut penulis jugak. Tapi aku pernah dapat feedback, yang pembaca perlukan sesuatu yang tak berkait dengan cerita. Contohnya, seks atau adegan kelakar. Untuk merehatkan minda. Gitu.
Jadi penulis pun kena jadi pembaca jugak ye dak?
Dalam Servis Satu Malam, aku masukkan adegan dewasa tu sebab aku terbawa-bawa. Kahkahkah. Tapi dalam Bukan Perempuan Sundal, aku cuba nak pisahkan idea seks dan cinta.
S: Apakah karier sebagai penulis boleh menjamin masa depan atau sedikit sebanyak membantu kehidupan kau?
J: Aku ada cita-cita jugak nak jadi penulis sepenuh masa. Sebab memang its really my time. Tapi disebabkan ada komitmen lain, aku menulis sebagai hobi dan duit tepi. Syok jugak mintak advance kadang-kadang.
Bab masa depan ni susah sikit la kalau kita nak ikutkan dengan masa sekarang. Sebab Malaysia kita ni belum lagi pandang penulis ni satu karier yang menjamin
S: Kami nak tanya tentang gaya bahasa penulisan kau. Adakah kau ada ikut mana-mana gaya bahasa (inspirasi) dari penulis-penulis lain? Kalau ada, kau bgtahu siapa dan kenapa. Kalau takde, kau bgtahu gaya bahasa macam mana kau nak tampilkan untuk next novel?
J: Aku suka Chuck Palahniuk. Bukan sebab dia pengotor. Murakami lagi pengotor. Kakaka. Sebab Chuck suka main dua/tiga cerita dalam satu bab. Bagi aku, tu macam sesuatu yang ajaib. Dan juga Ridhwan Saidi. Dua-dua ni suka unsur repititif. Dan diorang dua ni pandai main repititif
S: Repititif ni Repetitive ke woi haha? Baiklah. Apa pandangan kau pula tentang komen orang kata penulis buku sekarang ni suka cipta ayat sendiri yang takde ikut dewan bahasa dan pustaka. Main langgar. Macam repititf and yeah... terfaktab sendiri.
J: Hahahaha. Perkataan ni organik kot. Berubah ikut peredaran masa. Bukan salah penulis sepenuhnya. Dan perkataan baru tu tak semestinya salah. Kita berkomunikasi dengan perkataan yang kita biasa guna. Ok la. Repetitif tu perulangan.
S: Perkataan ni organik ni pertama kali kami dengar gak. Dan bab kualiti pun kami pun setuju. Kau ada alter-ego dalam penulisan tak Syahid ?
J: Alter Ego ni aku tak tau nak cakap macam mana. Tapi dulu aku pernah buat projek, AutoBIOLgrafi. Aku setuju dengan idea kita boleh jadi apa saja dengan menulis. Sebab kalau nak menulis ni kita kena baca, baca, baca dan baca. Misalnya, kalau kita nak tulis pasal jenayah, kita kena faham apa itu jenayah, apa sebab munculnya jenayah dan apa yang kita nak tulis pasal jenayah. Dan daripada idea membaca sebelum menulis, bukan sekadar bahan bacaan. Pengalaman dan memahami persekitaran pun salah satu kaedah membaca. Barulah, apa yang kita tulis tu ada isi dan ada idea
S: Kau rasa scene buku kita ni dah tepu? Atau masih boleh pergi jauh?
J: Scene buku kita takkan tepu. Sebab golongan pembaca ni kita takkan pernah tahu siapa dan dari mana diorang datang. Sebab tu la aku ada cakap tadi, kita kena cari titik seimbang. Supaya kita jadi diri sendiri tapi tak terikut dengan mainstream. Ini adalah tanggung jawab penulis
S: Okay kau sendiri ada pengalaman buat self-published, rasa betapa cabaran menjual buku, rasa pahit maung jadi penulis buku. Apa yang kau harap pada penerbit alternatif/indie macam kami?
J: Aku tahu nak menerbit buku ni lain macam punya pedih. Paling pedih, pemasaran. Nak yakinkan pembaca apa yang kita jual ni memang bahan bacaan. Bukan senang punya kerja.
Apa yang aku harap dari penerbit macam terfaktab ni, boleh teroka bakat baru yang mampu mengubah stigma dan dogma masyarakat. Kualiti pun satu hal jugak.
S: Terima kasih untuk temubual ringkas ini. Kami harap kau sukses dengan bidang penulisan. Jadi soalan last, boleh kau kongsikan tabiat kau sewaktu menulis/mengarang?
J: Tabiat masa menulis. Aku suka menulis lepas mandi. Dengan bertuala dan hisap rokok. Kahkahkah kadang-kadang aku dengar lagu. Takde yang special.


Tamat. Ikuti Syahid Abdullah di laman FB beliau; Syahid Ben Atim.
Jumpa korang pada episod 2 dengan penulis lain pula. Bye~~