Sarah pejamkan mata, yang dia lihat sekarang hanya kaledeoskop berwarna-warni dan hanya dia yang wujud dalam ruang infiniti gelap yang tak berpenghujung. Asap dihembus perlahan, rasa tenang dan melayang. Melodi sayu Salty Seas - Devics merentap Sarah jauh tenggelam ke dasar tanpa deria.
Dalam kebas dan tenang Sarah yang terbang tinggi, rasaksa masa silam berbentuk dua tangan gergasi kelabu berceloreng merah menyergah. Tanpa sedar, air mata mengalir laju dan malam terasa sejuk. Dalam gelap yang terang, Sarah cuba bangkit berdiri. Dia mahu berteriak pada rasaksa tolol itu, dia bukan Sarah yang dahulu boleh ditawan.
Tapi hendak melawan, Sarah masih punya takut. Masih punya fobia. Jadi dua kaki digunakan untuk berlari, pecut sekuat hati. " Kali ini aku akan bebas! ", teriak Sarah kuat, tidak diketahui kenyataan itu untuk menyedapkan perasaan Sarah sendiri atau peringatan untuk rasaksa hitam. Perlarian Sarah terhenti di penghujung jalan mati sebuah taman, ranting dan dahan pohon seakan mengerti ketakukan Sarah lantas kesemuanya menjad satu benteng dan menjerut rasaksa hitam itu sehingga mati.
Hanya tinggal Sarah seorang di dalam taman kecil.
Yang peliknya, tiada langsung bunyi desiran angin atau tanda-tanda kewujudan organisme yang lain. Ianya hanya seperti satu kepungan dinding yang dibentuk indah. Sarah berjalan lagi, berjalan sehingga dia bertemu satu kawasan lapang dan hanya ada satu bunga yang ditanam di tengah-tengah. Tanah masih basah, dan bunga tu kelihatan segar, merah terang dengan sedikit titisan air di setiap kelopak. " Cantik. " bisik hati Sarah, sambil tangan Sarah membelai kelopak-kelopak bunga tersebut.
" Aduh! ", jerit Sarah, sedikit dramatis. Tidak disangka kelopak bunga tersebut rupanya tajam sekali, setiap satu adalah bilah bilah tajam pisau yang baru sahaja diasah. Tapi cantik, sangat cantik. Bagai dirasuk, Sarah tanpa ragu mencabut bunga tersebut dari tanah. Tangannya terasa panas, terbakar sedikit, tapi Sarah tidak hiraukan. Mata Sarah hanya fokus pada yang satu, bunga yang cantik, hanya kepada bunga yang cantik.
Perlahan-lahan persekitaran taman menjadi mendung, gelap dengan awan berat di atas langit. Sarah mengopek setiap kelopak bunga tersebut dan diletakkan di tanah, disusun rapi bersebelahan kesemuanya. Dan setiap kali itulah, jari Sarah terhiris, dan darah yang menitis terkena kelopak bunga yang kelihatannya menjadi semakin cantik, semakin bersinar. Sarah masih leka, walau bila kedua tanggannya sudah melecur dan berlumuran darah. Muka Sarah menjadi pucat, tapi masih tersenyum. Masih leka dengan bunga tersebut.
Biarpun sakit, Sarah rasa lega. Sarah teringatkan rasaksa hitam yang mengejarnya sebentar tadi. Dahulu mereka pernah menjadi kawan, bermain bersama, bergelak ketawa bersama. Tapi Sarah lebih sukakan taman. Lebih indah, lebih kosong, lebih senyap tanpa gangguan. Dan Sarah rimas bila mana rasaksa hitam tersebut tidak pernah jemu cuba menarik Sarah kembali untuk bermain bersama di dunia realiti. Sarah tidak mahu. Sarah hanya mahu hilang. Biarkan mereka yang tersayang ditinggalkan jauh. Kehadiran Sarah bukannya penting, bukannya membawa makna.
" It wouldn't make any difference. ", bisik Sarah dalam lelah penat mahu bernafas, separuh berteleku dalam lecak basah darah sendiri. Hendak menangis pun Sarah tidak ada upaya. Hanya mampu memejam mata dengan erat, biar hitam kesemuanya sambil tangan kuat menggenggam kelopak bunga tajam yang kelihatan hidup bersinar dalam baja sisa-sisa nyawa Sarah yang tertinggal.
Tubuh Sarah dijumpai lebih tiga hari kemudian. Kaku terbaring dalam limpahan darah sendiri, mata separuh terbuka merenung jauh. Kedua tangan Sarah masih erat menggenggam dua tiga bilah razorblade yang tajam. Tidak jauh dari situ, beberapa pil berselerak di atas lantai, tercampak jauh dari bekas.
2 comments:
naissssssssssssss!
cantik sangatttt.
Post a Comment