Ada satu ketika yang aku terfikir mengenai perasaan. Aku sendiri tak tahu apa yang aku rasakan. Antara nafsu, suka, cinta dan rindu, bagaimana entah manusia klasifikasikan. Sepanjang dua tiga minggu yang lalu, aku rasakan yang aku hampir-hampir hilang pedoman. Masalah hati ini berat, tahu. Apatah lagi untuk aku yang sedang terkilan.
Akhirnya aku dah jumpa jawapan, setelah aku mencari dari Kuala Lumpur hingga ke Seremban. Waktu itu hujan, dan aku bersendirian. Tapi tak mengapa, sebab tujuan mahu berjumpa (bekas) kesayangan. Aku dah lama berangan, mungkin setelah lama tidak bertemu, adalah sedikit peluang untuk kami bersama semula seperti dahulu. Paling tidak, mungkin ada lah terselit rasa rindu dari dia untuk aku.
Tapi tidak. Dia lebih banyak membisu.
Jadi ketika itu, perasaan yang masih bersisa terus menjadi bisa. Aku rasa seperti dunia ini memang berkonspirasi untuk membuatkan hidup aku celaka. Tak pernah ada tuah dengan cinta, biarpun aku dah kejar dengan seribu daya. Bayangkan hati yang dah parah cedera, kau simbah kan dengan cuka. Iya, memang aku yang bodoh sebenarnya.
Tapi entah kenapa dalam kesedihan pulang dari Seremban, ada terselit satu rasa bangga. Mungkin kerana akhirnya aku tahu apa sebenarnya perasaan yang aku rasa. Atau mungkin aku bersyukur yang aku sudah sedar akhirnya.
Kerana, mungkin ada satu ketika, aku rasa cinta membuatkan aku rasa nak mengalah. Rasa macam diri aku ni selayaknya hanya mampu nak rasa pasrah. Ada satu ketika, aku rasakan cinta yang membuatkan aku kalah dalam kehidupan yang terlalu banyak cabang dan arah. Jadi sejujurnya, aku pernah rasakan yang cinta hanya akan membuatkan kau lemah.
Ada satu ketika, mungkin aku rasa cinta ini satu beban. Cinta adalah sesuatu yang kau tak boleh jamin akan kekal dari sekarang hingga masa hadapan. Jadi, aku tinggalkan cinta perlahan-lahan. Cinta itu aku anak-tirikan. Sebab ada satu ketika, aku yakin yang cinta itu tak boleh jamin kebahagian. Malah, aku juga pernah percaya yang cinta itu adalah syaitan.
Tapi sekarang aku rasa, cinta adalah sesuatu yang merelakan. Aku rela berjumpa dengan dia sebagai kawan dan bukan kesayangan. Aku rela melepaskan segala perasaan terkilan. Sebab apalah bahagia walaupun kami bersama semula, kalau apa yang kami pernah rasa sudah hilang semuanya.
Dan jawapan yang aku jumpa di Seremban?
Mungkin sudah sampai masa aku serahkan semua kepada Tuhan.
No comments:
Post a Comment