Monday, 15 September 2014

Sesudah Lama

Hai,
semalam kamu menghantar pesanan ringkas melalui telefon bimbit. Aku tahu, berat untuk kamu menekan butang hantar supaya mesej itu sampai ke peti masuk telefon bimbitku. Mungkin sudah berapa hari kamu ingin berbuat sebegitu namun kamu gundah dengan jawapanku.

Mulanya,
aku agak kaget dengan mesej sedemikian. Setelah sekian lama keberadaan kita yang bermain perasaan tidak tetap pendirian.
Kamu mengutus khabar rindu kamu terhadap aku. Pantas, kamu selitkan soalan tentang kerinduan aku. Aku mudah menjawab, rindu itu hanya perasaan yang telah lama dipinggirkan dalam slot perasaan aku kerana rutin sibuk yang sengaja aku tempa.
Kamu itu sengaja, membiarkan rindu merajai perasaan kamu yang berbaur kenangan lalu yang tidak mungkin aku mainkan kembali. Kenangan itu adalah khilaf dari aku, mana mungkin bisa aku mainkan!
Percayalah, kamu itu ada potensi seorang wanita besi yang tidak mungkin mudah dibeli. Hati aku yang bertakhta di dalam diari hidup kamu yang dahulu terpaksa berpaling kerana sudah tiba masanya kita berjalan menikmati kehidupan sebenar.
Aku tidak mahu lagi kamu isi harapan kamu bergunung tinggi. Aku tidak mahu lagi berhipokrasi dengan perasaan ini.

Sungguh, aku pinta kamu berubah dan dapatkanlah bahagia kamu sendiri. Pulanglah ke tampuk fitrah kamu kembali. Pulanglah dan raikan bersama sahabat sejati serta famili.
Sungguh, aku tidak rasa derita perit kamu tetapi aku lihat bahawa kamu sedaya upaya membuang derita pada zahirnya. Secara rasminya ingin aku serahkan kembali kehidupan kamu itu dengan pesanan;
"Lahirkan dirimu yang baharu bukan kerana kisah lalu bersama aku, tetapi untuk memeriahkan kehidupan kamu tanpa sekelumit aku. Jadi dan carilah dirimu yang benar."
Aku bersyukur kamu berubah hati dan telah mengambil keputusan yang baik walaupun sukar. Semoga kita berjumpa lagi, di kehidupan baharu kamu kelak. Aku doakan kamu lebih berhak menikmati nyawa percuma kerana aku bukanlah seperti dilhat oleh kanta mata. Aku sedang bersembunyi di balik bayang hitam. Adakah perlu untuk aku meminta maaf kerana sudah beberapa tahun aku rasa kisah kita membelenggu hidup kamu? Aku rasa perlu untuk aku meminta maaf kerana aku yang mula memaut untaian perasaan kamu agar kita bersatu. Silalah maafkan aku.

Akhirnya,
aku semak kembali peti masuk telefon bimbitku. Sebenarnya ia sudah lama sunyi sejak mesej terakhir kamu semalam. Aku tekan dan lihat mesej terakhir kamu;
"Aku mohon kamu pinggirkan aku untuk dua tahun agar bisa aku lupakan kisah kita. Mungkin tempoh itu tidak cukup untuk menjahit memori bersama kamu tetapi akan aku cuba-paksa demi diri aku."

No comments: