Sunday, 30 June 2013

Berapa Kali Jadi Bodoh?


Aku pernah suatu ketika menjadi seorang yang terlalu naïf. Masih muda dan mendapat lesen untuk terbang bebas dari kongkongan famili.   Bebas untuk menentukan arah tuju hidupku di waktu itu. Terus terang diakui, setiap tindak tanduk hampir 100% dipengaruhi oleh kawan-kawan sekeliling. Lantaklah kalau nak kata, kawan-kawan bukan mempengaruhi kita tetapi kita yang mudah terpengaruh dengan kawan-kawan. Bagi aku sama sahaja. Jangan nafikan sesuatu perkara yang sebenar walhal hakikatnya kita terpaksa ego untuk tidak mengaku salah.  Dalam banyak-banyak perkara,  rasanya perkara yang paling mengecewakan bila aku mengenal cinta di usia yang terlalu muda. Yang mana ketika itu aku percaya cinta adalah segala-galanya. Cinta bagiku adalah kebahagiaan. Cinta bagiku adalah sayang yang tiada berpenghujung.  Cinta bagiku sesuatu yang indah, langsung tiada buruk sangka terhadap erti cinta. Tanpa aku sedar, cinta telah buat aku lupa untuk menjalani hidup sebagai anak muda yang sepatutnya menikmati hidup bebas buat pertama kali. Ya, cinta buat aku jadi bodoh; di usia remaja.

Melihatkan kawan-kawan yang seronok berpasangan, membuatkan aku juga mahu keadaan yang sama. Keluar berjumpa setiap hujung minggu, bergayut di telefon setiap malam hingga lewat pagi. Setiap hari dapat bercerita dengan kawan-kawan yang lain betapa seronoknya si dia yang sentiasa dapat memenuhi keinginan di hati. Setiap bulan dihadiahkan dengan bunga, teddy bear, dibawa berjalan-jalan, shopping bersama. Ya, itu semua dengan menggunakan duit PTPTN atau tanggungan MARA. Hebat kan. Insan mudah cemburu dan rapuh seperti aku telah membuatkan hatiku juga memberontak untuk punya satu pasangan hidup. Walaupun realitinya aku belum tahu apa itu cinta. Dan langkah aku untuk terjun ke dalam cinta dalam usia yang terlalu muda menjadikan aku sebagai aku yang sekarang, sentiasa pesimis terhadap cinta.

Aku tak nafikan ada yang berjaya bercinta di usia muda, selaras dengan kejayaan  pelajaran masing-masing. Tapi berapa kadarannya kalau hendak dibandingkan dengan yang tumpas? Dalam lima orang yang bercinta sewaktu belajar, mungkin satu pasangan sahaja yang berjaya hingga ke menara gading dan berkahwin. Lagi empat pasangan? Hurmm. Mungkin ada yang mahu menyangkal, mereka yang tewas bukan tergolong dalam golongan yang cerdik pandai dalam belajar. Ini ada suatu kisah benar di tempat asalku. Seorang budak lelaki, seniorku. Sangat bijak orangnya. Aku kenal dari semenjak kecil. Dan ditawarkan untuk menyambung pelajaran dengan tanggungan JPA. Bukan senang nak dapat kan. Sewaktu cuti akhir final semester  bulan Ramadhan, dia dijumpai menggantung diri di biliknya dalam keadaan biliknya berselerak dengan surat-surat cinta dan gambar-gambar seorang perempuan yang telah dikoyak-koyak. Apa perkara pertama yang dapat disimpulkan? Adakah hasutan syaitan pada ketika itu? Walhal kejadian di bulan Ramadhan. Wallahu a'lam.

Aku tak pernah menghalang untuk bercinta di usia muda. Jauh sekali untuk mencebik ke arah mereka yang bercinta sewaktu belajar.  Tak adil untuk aku seorang yang menjadi bodoh, apakata bodoh itu dikongsi bersama, kan. Tiada salahnya untuk menjadi bodoh untuk pertama kali. Sedangkan kita semua tahu, kita perlu melalui kesilapan untuk mencipta kejayaan. Yang menjadi isunya, berapa kali kesilapan yang perlu dilaku untuk capai kejayaan itu? Atau bahasa yang kasarnya, berapa kali kita mahu menjadi bodoh untuk mencapai cinta yang dimahu? Cinta dan bodoh, berpisah tiada. 


“Sekali silap, mungkin ada salah kita. Dua kali silap, mungkin kita terlupa sejarah. Tiga kali silap, mungkin sudah ketentuan. Empat kali silap, mungkin bodoh sentiasa wujud dalam diri.” SD

4 comments:

Pencinta Seni said...

nice entry =)

An anynomous of every blogger said...

Empat kali silap, mungkin bodoh sentiasa wujud dalam diri


~ok...I wanna climb a hill and scream my stupidity out...hukhukhuk...

yongpropaghandi said...

bila gagal, tak muhasabah diri. mana nak berjaya. Kekal bodoh sejati la.

Mikael Sahaja said...

Kalau masih tak sayang diri sendiri lagi, maknanya tak boleh nak sayang orang lain.