Ada sekumpulan mat motosikal berarak ke hujung jalan itu. Pelbagai jenama motosikal yang mereka pacu. Yang pasti, majoritinya mengenakan tayar dan rim bersaiz kecil. Nampak ralat tapi bila lihat majoritinya sama, maka tidak nampak keralatan tersebut.
Mereka memakir motosikal masing-masing di hujung jalan itu lantas berlari ke tebing yang semakin rendah gradiennya. Ada yang membuka baju sambil berlari dan ada juga segan dan tentunya mereka teruja untuk ke gigi air. Mereka mandi di sungai itu. Mereka bergurau senda. Mereka bergelak ketawa tidak pedulikan masyarakat. Nampak mereka sedang menikmati usia mereka. Pada hemat saya, mereka ialah golongan muda yang baru sahaja selesai bersukan di petang hari dengan bermain bola sepak di padang berdekatan. Mereka kelihatan gembira. Tidak pasti kegembiraan itu diraikan oleh sebab apa. Mungkin mereka dapat bersukan. Mungkin mereka dapat berkawan. Segala kemungkinan itu saya biarkan.
Mereka sedang bergembira di jeti walau air keruh yang pekat, seperti perasaan cemburu manusia. |
Saya berada di tepi jalan. Tidak jauh dari tempat golongan muda itu bergembira. Kali pertama saya jejakkan kaki ke tempat ini namun saya telah dijamu pemandangan ragam manusia dan alam yang tidak mengecewakan. Oh ya, di sebelah saya ada seorang perempuan. Dia yang saya gelarkan sahabat. Dia bawa saya ke tempat ini setelah sekian lama dia memperihalkan suasana yang manis di tempat itu. Saya agak teruja sepanjang perjalanan menuju ke jeti sambil berimaginasi suasananya. Walaupun kurang lebih lima belas minit saya menyelongkar pengalaman di situ, saya tetap bersyukur kerana masih dipinjamkan seorang sahabat yang rela menyantuni luahan hati saya di kala susah mahupun senang. Ketika itu dia tahu kecamukan perasaan saya. Saya harap dia tetap ada walaupun saya tiada.
Sungai yang menghubungkan dua tanah dan juga beribu perasaan manusia. |
Kecamuk dan resah di hati saya sedikit terbayar oleh kerana pengalaman di jeti itu. Saya kira jika ada masa saya akan ke sana lagi. Untuk kali kedua dan seterusnya saya akan bawa sebuah buku catatan untuk dinukilkan perasaan ketika berada di sana, agar saya dapat berinteraksi lagi dengan suasana semula jadi yang tiada langsung hipokrasi seperti manusia, iaitu kita.
Jeti itu tampak tidak lengkap prasarananya namun jelas kelihatan sempurna apabila saya melihat riak wajah-wajah ceria, sabar, tenang mencari rezeki sambil melengkapkan putaran hari. Di samping itu, pesona rupa fizikal muka bumi yang memberi ruang kepada manusia seperti saya untuk melepas perasaan. Inilah salah sebuah lokasi yang akan saya semat dalam fikiran saya sehingga mati, Jeti Samarahan. Dan kalau bukan kerana sahabat, entah bila saya akan berdiri di tebingan jeti buat kali pertamanya. Terima kasih kepada Tuhan dan alam.
No comments:
Post a Comment