Monday, 1 December 2014

Mungkin, kisah lucu kita.

 Hujan renyai-renyai, takkan hujan rintik-rintik air bergelora pula. Hujan sebegini menggamit memori, dulu atap tirih, berlari anaklah mencari besen menadah, bila terlalu lebat banjir satu rumah, ambil kain lap lap lap dan lap. Kemudian esoknya tahu dah kain buruk tu kena basuh dan jemur. Apa je yang kanak-kanak seawal umur 10 tahun tahu? Kena marah menyuruh itu dan ini lalu hati bilang, "Ah ibu tak sayang aku."

  Abah kerja ladang, tengahari pulang makan dan petangnya pula kembali mengutip buah relai. Tulang masih kuat tak sama seperti sekarang dah tua dan bertongkat. Hati tua mana boleh lagi nak marah, masa inilah kita yang dah dewasa perlu menjaga hati dan perasaan mak abah.

 Hujan ni, mengingatkan aku lagi, lempeng kelapa cicah gula serta kopi panas kurang manis, petang sebegini tiada apa selain dari mengenang kisah lama. Cucu pula asyik berkejaran berlari depan mata. "Tok, kenangkan pada siapa? Mengelamun panjang." Aku diam. Mereka hidup dalam zaman moden mana tahu apa. Yang tahunya iphone6 dan kisah sweet mereka bercinta kononnya manis macam gula yang takkan pernah habis. Aku senyum je.

 "Tok, ceritalah pasal nenek dulu orangnya macam mana? Cantik tak?" Cucu sorang lagi bertanya. Aku kalau nak ikutkan malas nak jawab, cantiknya tu tak boleh nak cakap jadi aku terdiam. Lama. Lalu aku arahkan salah seorang cucu aku ambilkan album dekat almari bilik atas.

"Ini, nenek kamu. Atok tahu atok power dapat tackle nenek kau dulu, malas je atok nak cerita lebih-lebih, kamu tengok mak kamu sekarang, cantiknya macam itulah." Sempat juga aku sengih dalam hati. Dah memang betul arwah bini aku dulu cun-melecun.

 Cucu-cucu semua dah lari, malas layan aku mungkin. Tak mengapalah. Salina, kalau lah kau masih hidup lagi, mesti kau masih tersenyum melihat aku duduk menghadap pokok mempelam yang kita tanam bersama seawal perkahwinan kita dulu, lebat buahnya sama seperti suburnya cinta kita. Sampai sekarang aku tak lupa kau menjerit ketika kerengga menggigit, kemerahan pipimu Salina menahan malu, dan aku jatuh cinta entah keberapa kalinya.

Salina,

Usia aku dah lanjut, 78 tahun namun aku bukan seorang pelupa dan nyanyuk, Alhamdulillah ingatan aku masih segar. Salina. Ah rindunya. Tak mengapalah aku mahu beransur solat asar dahulu.

 Gagah juga menongkat menjejak ke bilik air untuk mengambil wudhu' lalu sempat juga aku menoleh pada pokok mempelam kita, aku tersenyum lagi. Salina.

 Semoga esok, dan waktu petangnya dapat lagi aku berkhayal yang kau ada bersama, minum petang bersama sambil mengenang kisah-kisah lucu kita.

Dan pokok mempelam itupun terbuai daunnya. Berusia lama seakan cinta kita.


Tamat.

Embun Karina Abdullah.


No comments: