Thursday, 18 December 2014

Kita sudah semakin jauh, jadi aku memilih "JARAK" untuk kita.

 Pagi, mungkin untuk di Malaysia, dekat sini sudah masuk malam yang sedang ketengah. Untuk dua buah negara yang terasa dekat mahupun jauh, seperti sama saja hati kita yang sudah tidak pernah dekat, seperti magnet, dulu. Dan magnet itu sudah jatuh pecah dan hanya tinggal serpihan-serpihan namun masih lagi melekat. Ya, itu magnet bukan kita.

 Hari ini sudah masuk 120 jam 45 minit dan 59 saat kau telah abaikan aku. Ruang yang kita cari terlalu lama untuk bersifat tersedia. Aku memandang jendela yang seakan memanggil aku untuk menutupnya, angin malam sejuk membuat aku ingin berbaring dan hanya berselimut. Nombor untuk kegunaan harian belum bertukar lagi, mungkin sebentar lagi atau kemudian nanti, entah.

 Mencapai buku bacaan yang tertangguh, "Saksi Cinta" membuat aku tergelak kecil. Ada juga ya buku cinta yang memerlukan "saksi." Ya, untuk pasangan yang memerlukan hak untuk memiliki, lalu aku menilik belakang buku, isbn. Ya, isbn pun ada untuk "HAK CIPTA TERPELIHARA." Jadi tiada salah untuk mengetengahkan hak cipta atau hak dalam memiliki seseorang tanpa sebarang "PENAFIAN" bukan?

  Mulut menguap sedepa, mungkin letih kerana terlalu penat dan mengantuk masa dalam flight tadi. Sebelum masuknya tahun 2015, dan kerja yang bakal menanti untuk diberi tumpuan, berehat kini menjadi keutamaan dari melayani perasaan. Jadi jarakkan sedikit hati kita, bila terlalu dekat membuat aku sarat, dari jauhnya berkilometer sehingga terpisah dua buah negara, sifatnya sama sahaja. Hal-hal dan permasalahan kita takkan pernah selesai. Selamat malam cinta hati di Malaysia!

Embun Karina Abdullah Saif.

No comments: