Wednesday, 17 April 2013

Dua Tahun Lepas


Semalam aku jalan-jalan. Pergi kedai. Dahaga. Jadi aku perlukan kelegaan pada tekak. Minuman bergas dan sejuk, itu sudah pasti. Aku berjalan seorang diri. Lagipun kedai bukannya jauh. Cuaca panas dan bahang. Menyesal pun ada. Aku harap perjalanan ini dirahmati dan dipercepatkan. Tak mahu kulit aku terbakar. Ngeri.

Aku melepasi sebuah taman permainan. Dan disana ada macam-macam jenis manusia. Kebanyakkannya kanak-kanak dan remaja, berbilang kaum dan agama. Aku lihat ada pasangan kekasih. Bercumbu. Seronok nampaknya. Aku biarkan. Aku pernah lalui. Dua tahun lepas, betul-betul dua tahun lepas. Taman permainan menjadi saksi.

"Kita nak makan dekat mana ni? Takkan nak makan sambil jalan?"
"Alaa kita lepak taman permainan depan tu lah kejap. Aku nak makan, aku lapar."
"Sebab tu aku tanya kau. Kau tu bukan tau sabar kalau bab makanan."
"Okay fine."

Kami berdua singgah disana. Gelap. Mana ada kanak-kanak mahu bermain pada waktu malam begini. Jadi, kami berdua saja disana. Kami longgokkan makanan yang kami beli di pasar malam tadi. Pasar malam ini dibuka pada setiap malam ahad. Mujurlah dekat dengan kolej kami. Kami boleh menapak kesana. Tak perlu ada kenderaan.

"Sikit jagung bakar weh. Macam sedap je."
"Ah kau. Macamlah takde jagung. Tu cup corn kau tu ada. Makanlah."
"Kedekut. Aku nak rasa lah."
"Yelah yelah. Nah amek."

Ini rutin mingguan kami. Kami tidak punya kawan lain. Bukan tiada, cuma tak selesa. Kami asal daripada selatan. Dia Selangor, aku Johor. Kebanyakkan kawan sekelas orang utara dan pantai timur. Tak masuk kepala. Jadi, kami selesa berdua. Kemana-mana berdua. Tak pernah bosan.

"Aku suka kau."

Suasana yang tadi riuh, kini senyap. Aku terdiam. Barangkali budak ini bergurau. Atau mungkin aku yang tersalah dengar. Aku biarkan saja. Aku ratah jagung bakar laju-laju. Aku tak pandang dia. Malu. Yelah, mungkin aku silap dengar. Jadi, elok abaikan saja.

"Kau suka aku tak?"

Kali ini aku tumpukan perhatian. Tak silap lagi. Memang itu yang dikatakan. Tapi, kenapa? Aku tidak faham. Aku rasa akulah budak paling dia benci dan paling banyak buat dia sakit hati. Aku kacau dia, aku kutuk dia, aku buli dia. Paling jahat senang cakap.

"Kau dah kenapa?"
"Salah ke?"
"Entah, kau rasa?"
"Aku tak tahu."

Botol minuman dicapai. Not dua ringgit dikeluarkan daripada poket. Dibayar. Aku berjalan pulang sambil menyambung kisah-kisah dua tahun lepas. Aku masih tidak faham.

2 comments:

Mikael Sahaja said...

Aku ingatkan tadi ada sekali part bercumbu. Kecewa kecil aku.

xallehrazax said...

Ish engko ni. Mana ada.