Tuesday, 23 April 2013

Si Awan Mendung


 Kadang aku ada sedikit rasa kepelikan pada sifat perempuan. Ada masa, entah apa yang tidak kena dan secara tiba-tiba sahaja emosi membelenggu diri. Seumpama ada satu kelompok awam hitam yang besar memayungi diri dan mengekori ke setiap penjuru. Okay, itu boleh dikatakan ketidakstabilan hormon. Tapi kenapa ya, hormon itu tidak dapat dikawal?  Okay, mungkin dah cukup bulan, Cik Teman Baik datang melawat dan hormon mereka sedang bergendang-gendung dalam proses perubahan. Jadinya akan melibatkan emosi juga. Tapi ada juga bukan disebabkan kehadiran Cik Teman Baik. Awan mendung muncul secara tidak semena-mena. Puas difikir apa puncanya, kosong. Cuba diselongkar apa salahnya, negatif. Difikir-fikir dari pagi membawa ke malam, hampa. Tiada jawapan untuk kelompok awan mendung yang datang secara mengejut itu. Dan itu yang aku selalu dan sedang alami. Samada ego atau kau memang tidak mahu mengaku, sebenarnya kau tahu apa punca kau jadi begitu. Sebab dia kan? Mengakulah. Sedikit sebanyak sebab dia kan? Hei perempuan, mengakulah.

Aku bukan insan pertama dalam hatinya dan mungkin insan kedua atau ketiga atau entah yang ke berapa. Itu hanya satu kemungkinan. Sebab siapa aku di hatinya tidak pernah dipersoalkan. Kenapa? Sebab aku tak mahu tahu. Sebab aku tak cukup kuat untuk mendengar hakikat. Sebab aku terlalu keras dan angkuh untuk menerima. Sebab aku terlalu lemah untuk mengetahui yang aku bukan yang terpenting dalam hatinya. Yang aku mahu tahu dan akur akan situasi kami, dia menyayangi aku dan aku menyayangi dia. Cukup itu sahaja. Dan aku tidak perlu tahu pada yang lain. Dan aku tahu hatinya. Jauh di sudut hatinya, dia memang menyayangi aku. Berapa peratus sayangnya padaku tidak perlu diukur. Cukup hanya tahu dia sayang aku dan sayang itu dalam bentuk keikhlasan. Bagaimana dengan degree sayang aku pula? Sepenuhnya kucurahkan untuk dia. Kau boleh kata aku bodoh. Kau boleh hina aku sebagai bangang dalam menabur sayang. Tapi sayang aku pada dia bukan satu benda bodoh. Sayang aku pada dia bukan satu benda bangang. Aku ikhlas sayang dia dan dalam keikhlasan aku untuk menyayangi dia tanpa tersengajakan aku menanam rasa cinta pada dia. Cinta dalam diam. Biar aku seorang saja yang tahu. Biar aku seorang saja yang pendam. Dan jika itu yang akan menjadi awan mendung setiap masa dan saban hari untuk aku, biarkan. Dan jika awan mendung itu yang akan sentiasa mengocak kehidupan biasa-biasa aku ini, biarkan. Dan jika awan mendung itu yang akan membentuk emosi berkecamuk yang membuatkan aku gila, biarkan. Aku tak mungkin dapat miliki dia dan dia tak mungkin akan menjadi kepunyaan aku. Mungkin kehadiran awan mendung itu sahaja tempias sebahagian dirinya untuk aku. Dan itu sudah cukup buat aku rasa dia milikku. Terpulang untuk dikata betapa gilanya cinta aku ini sebab kau takkan pernah tahu bagaimana rasanya. Rasa diam dan pendam itu hanya aku seorang yang tanggung.


Aku tahu takdirnya memang bukan dia untukku. Aku tak buta akan perihal takdir yang telah ditentukan itu. Aku tak bodoh untuk menilai setiap perilaku itu yang bakal memusnah aku dari dalam. Jangan dicaci aku. Jangan dimaki aku. Sebab aku akan tetap begini. Aku akan tetap memesongkan kiblat cinta ini menghala ke dia. Andai suatu hari dia pergi, aku tahu yang akan tertinggal nanti hanya awan mendung itu. Awan mendung itu yang akan sentiasa mengiringi aku sepanjang zaman. Dan itulah sumpahan yang akan kuterima terhadap kedegilan aku yang sekarang ini.

“Engkau si matahari, engkaulah si hujan. Engkau jugalah si ribut petir, engkau juga si angin sepoi-sepoi bahasa. Yang paling utama, engkaulah si bulan yang sentiasa meneman tika aku tidak berteman.” SD

6 comments:

Melor said...

Kenapa dibiar awan yang mendung? Biarpon ribut petir cerah silih berganti jadikan awan itu awan pelindung yg sentiasa menemani andai dia tiada lagi,nanti. Jadikanlah sumpahan kpd rahmat tuhan.
:-)

Melor said...

Kenapa dibiar awan yang mendung? Biarpon ribut petir cerah silih berganti jadikan awan itu awan pelindung yg sentiasa menemani andai dia tiada lagi,nanti. Jadikanlah sumpahan kpd rahmat tuhan.
:-)

Anonymous said...

dan aku menjadi org yg x tahu mengira apabila dlm perhubungan itu hangan perlukan 2 org sahaja...

Anonymous said...

Mulut cakap lain hati cakap lain. Hati sungguh sayang tapi mulut cakap "Heh, takpa ramai lagi lelaki kat luar sana." Egomaniac. Tak mengaku diri lemah selemah-lemahnya. Orang tak buta tengok macam mana kita rasa. Tapi diri still tegakkan kata. Aku kuat, aku tak perlukan kuasa cinta. Aku tau macam mana kau rasa. Sebab aku pun rasa benda yang sama.

Dory said...

Aku pun bodoh.tapi ye merekah semua tidak akan faham apa yg kita rasa.aku merasai maka aku mengerti.biarkan kita terus bodoh agar kita rasa dia sentiasa di sisi

fara said...

setepek kena batang idong..haishh