Tuesday, 19 March 2013

Confession #10

Kadang bila bersendirian, akal itu sepertinya punya kaki sendiri, mahu melangkah jauh dari badan, mahu berjalan dan merayau jauh dari tuan. Mata bila cuba ku lelap, pada mulanya semua nya malap dan lama lama kelam, hingga aku jatuh tiba tiba di dimensi yang sangat terang. Bagaimana ya mahu diceritakan, gelap dan kelam tapi begitu berwarna, semuanya jelas. Hati kembali mengeluh, ego masih berdengus. "Berjaya, kau berjaya!" demikian katanya. Tapi kenapa masih berat rasanya, setiap kali hembusan nafas dilepas, sepertinya udara yang keluar juga pasrah meninggalkan ruang. Seperti penat beban yang tidak terlarat ditanggung, sudah diletak namun tidak berganjak sakitnya. Bahu masih lagi ke bawah, bongkok setiap urat dan tulang. Bersandar pada dinding yang dibina sendiri atas dasar melindungi.

Kau yang di sana, berhenti muncul dalam minda separuh sedar. Perit, kau tahu, membayangkan zarah engkau berada dekat tapi sebenarnya tidak. Kau boleh ketawa, silakan. Tahu, aku si bodoh. Tahu, ada juga salah tercalit di jari sendiri. Ampun jika ada dosaku, ampun juga jika ada yang tiada benar dalam perbuatan. Boleh sahaja kau pergi, silakan pergi. Buat hati aku tenang, itu saja aku mohon. Jangan jangan cuba lagi engkau menerajah dalam akal dan minda. Bisa saja kau pergi dengan Hawa yang lain, tidak pernah aku larang. Tidak lagi aku peduli. Cuma pulangkan, pulangkan yang satu itu, hati aku, rindu aku, pulangkan yang itu. Yang lain aku halalkan.

Ya, halal. Asal yang lain kau pulangkan. 

No comments: