Sunday, 17 March 2013

Selfish

Engkau datang dan pergi. Datang dalam diam, pergi dalam kelam. Kedatangan yang membawa seribu senyuman dan pemergian yang meninggalkan sejuta kesakitan. Acapkali. Masih begitu. Tak pernah berubah. Dan masih lagi dia itu menunggu. Setia tanpa beranjak walau setapak. Berdebulah si dia menunggu pada sesuatu yang tak pasti.

"Thanks sebab sentiasa ada bila saya dalam keadaan terhimpit. Saya sayang awak."

Dia hanya mampu tersenyum. Masih seperti dulu. Entah perlukah dia memaki sedangkan kedatangan itu yang sentiasa dinanti. Walau dia tahu, keadaan itu hanya akan berakhir dalam masa sehari. Sentiasa ada waktu luput antara mereka berdua. Kerana engkau memang sudah berpunya dan si dia itu hanya suatu sandaran dikala duka.

"Awak, saya sayang awak walau apa pun yang terjadi. Maaf sebab meletakkan awak dalam situasi begini. Tapi awak perlu tahu yang saya sentiasa akan menyayangi awak. Sampai bila-bila."

Done. Adakah itu satu kata putus bahawa dia tidak boleh melangkah ke suatu fasa yang baru? Adakah itu satu kata muktamad bahawa engkau memiliki diri itu sepenuhnya? Adakah tercipta satu tembok yang besar di hadapannya yang mana tembok itu pemisah untuk dia beralih pada yang lain? Kejamnya. Bodohkah dia masih begitu walau sedar dia hanya suatu sandaran? Dan lebih lagi hanya kepada pemuas nafsu? Hati adalah sesuatu yang rumit. Walau disakiti masih tetap bertahan hanya kerana dahagakan sebutir sayang yang akhirnya dia sendiri tahu akan sentiasa ada penghujungnya.

"Awak kat mane? Free tak? Jom keluar. Saya on the way datang rumah awak ni."
"Saya ada kat rumah. Datang jeklah."

Padahal dalam masa yang sama dia terpaksa membatalkan segala janji dengan kawan-kawan yang lain hanya semata mahu bersama engkau. Sanggup diketepikan segala di sekeliling hanya untuk menyambut engkau yang datang tanpa tentu masa. Yang datang pada ketika yang kau suka sahaja. Betapa dia meletakkan engkau di dalam senarai kepentingan yang teratas. Tanpa menapis setiap perbuatan buruk yang telah engkau lakukan padanya suatu ketika dahulu.

"Nanti kita jumpa lagi tau. Awak jangan nakal-nakal. Nanti saya jeles. Jaga diri. Makan nanti, jangan lupa."

Ciuman terakhir diberi setelah waktu luput itu tiba. Pelukan hangat yang mematikan hati dia untuk berpaling pada yang lain. Gigitan mesra itu yang menandakan dia milik engkau hanya dalam sulit. Dan pastinya ia akan berulang lagi. Sentiasa. Hingga hati itu akan mati dengan sendirinya.

"Ketamakan hati yang membunuh segala rasa. Masing-masing sedar yang jodoh itu bukan milik mereka. Walau ditulis cara apa sekalipun, tetap mereka tak dapat bersatu." SD

2 comments:

Anonymous said...

Situasi aku. Sangattt sama. Akhirnya, aku desak suruh dia pilih antara satu dan aku tak dipilih. Move on tanpa toleh belakang dah.

murnijamil said...

this is awesomely nice :) love this piece.