Monday 18 March 2013

Cinta Tak Semestinya Bersatu

Pagi lagi Aman sudah sampai ke pejabat. Biasanya Aman menjadi orang pertama yang sampai di pejabat. Kalau bukan dia, hanya Asri yang akan datang awal memandang rumah Asri yang jauh dan dia terpaksa keluar awal dari rumah semata untuk mengelakkan kesesakan jalan raya.

Aman memang sengaja datang awal. Kenapa? Aman tidak mahu perbuatannya diketahui orang.

Aman tengok kiri-kanan. Line clear!

Aman pergi perlahan-lahan ke meja Liza. Dia pun meletakkan sekuntum bunga Mawar beserta sepotong puisi romantis dia atas meja Liza.

Asri hanya melihat sahaja perbuatan Aman itu.

Pukul 8 pagi. Liza sampai di mejanya. Liza seperti biasa akan tersenyum gembira apabila melihat bunga dan sepotong puisi cinta di atas mejanya.

Sebenarnya, Liza sudah berpunya. Malahan, bakal bertunang pada hujung tahun ini.

Namun begitu, Liza tidak sesekali membuang bunga-bunga pemberian orang misteri yang tidak diketahui itu. Dia akan meletakkan bunga tersebut di dalam pasu yang berada di atas mejanya dan menyimpan puisi tersebut di dalam laci mejanya.

Aman tersengih gembira melihat reaksi Liza. Asri hanya menggeling kepala.

Tengahari itu, Aman dan Asri makan bersama seperti biasa. Setelah sekian lama memendam rasa, Asri akhirnya membuka mulutnya.

"Kau tahu kan Liza dah nak bertunang akhir tahun ni? Tak lama lepas tu nak kahwin. Kenapa kau terhegeh-hegeh nak hantar bunga bagai kat dia?"

Aman tersenyum mendengar soalan Asri. Dengan tenang hati dia pun menjawab, "Cinta tak semestinya bersatu. Cukuplah bagi aku dengan melihat Liza tersenyum bila mendapat hadiah pemberian aku."

"Gila kau ni. Aku tak nak kau gila bayang nanti." Tegur Asri.

Aman buat dek saja. Bagi dia, melihat Liza tersenyum adalah satu kepuasan bagi dirinya. Sama seperti seorang kaki pancing yang melihat umpanya dimakan ikan. Kepuasan yang hanya dia seorang sahaja tahu, dan orang lain tidak akan faham.

2 comments:

feruz8 said...

sedang terjadi kat aku sekarang haha damn. perasan sorang-sorang.

Amirul Idham said...

ada 2 option bro

1) Sabar menanti dan terus menunggu. Kalau betul jodoh kau, dapatlah nanti

2) Lupakan aje la... Move on. Cari perempuan lain. Tapi nak move on tu yang payah