Monday, 11 March 2013

Dimensi Tak Berpenghujung

Hubungan kita tidak menjadi seperti yang dirancang. Kerana itu tidak pernah tersenarai dalam angan-angan kita berdua. Tiada penyatuan dalam hati hatta kita masing-masing terluka dek insan yang mengkhianati cinta. Kita bertemu tanpa tersengajakan. Pertemuan singkat yang membawa kita ke bibit percintaan yang penuh risiko. Kita belum bersedia dan masing-masing akur akan ketidaksediaan itu. Namun atas dasar ingin mencuba, kita tempuhi juga. Dan inilah hasilnya. Gagal dan membawa kita ke satu perhubungan yang maha asing. Bercinta dalam dimensi yang di luar batasan.

Di kala kau kembali kepada si dia yang telah menjadi satu rutin malah tanggungjawab dalam hidup, aku masih di sini meneruskan hidup dalam serba tak kena. Kehidupan aku yang berputar 360. Langsung bukan kelihatan aku yang dahulu. Yang menjadikan aku juga hampir lupa siapa sebenarnya aku yang dulu. Dan seperti biasa hidup perlu diteruskan. Kau dan dia. Aku dan hidupku. Segalanya tampak normal pada awalannya.

Tiba satu waktu yang telah ditakdirkan, kita terperangkap dalam dimensi di luar batasan itu. Kau dan aku. Umpama bulan dan bintang. Aku tidak mahu tahu, aku adalah bintang yang ke berapa. Yang pasti aku mahu menjadi bintang yang sentiasa menemani bulan di malam hari. Dan kau sentiasa menjadi bulan yang memantulkan sinar dan meraih rapat aku ke sisimu. Tanpa sedar kita semakin jauh tersesat ke dalam dimensi yang mungkin tiada berpenghujung.


Kuakui ini semua adalah satu kesilapan. Dalam akal keras menolak setiap perlakuan kesesatan, hati pula mabuk dalam setiap kenikmatan. Aku tak mampu menolak namun masih sedar yang ini semua adalah khayalan semata. Yang tak mungkin akan aku miliki walau seribu tahun yang akan aku korbankan. Dia, adalah orang yang tidak mungkin akan kubenarkan bertakhta dalam hati. Walau kehadirannya sentiasa tidak pernah tidak ada, namun dia milik orang lain. Yang itu sentiasa ku pupuk dalam hati. Aku ukir kuat-kuat dalam hati. Dia sudah berpunya dan aku hanya persinggahan. Itu muktamad.
 
Semakin jauh kita melayari dimensi tiada sempadan itu, membawa aku semakin jauh ke arah yang aku sedar akan membunuhku secara perlahan. Aku akui, suatu hari matiku hanya akan berpunca dari kesesatan hati dengan membenarkan dia menarikku jauh ke alam itu. Kelemahan aku adalah dia. Walau berjuta dipendam rasa marah dan benci, namun rasa sayang semakin menebal. Kerana dia tidak pernah membenarkan aku untuk membencinya. Perbuatannya, tingkah lakunya, tutur katanya. Ahh, semuanya tampak elok di mata. Walau aku sedar, dia pernah perlaku aku seperti sampah. Dan tanpa sedar dia membuat sekatan mata untuk aku membuka peluang pada yang lain. Sungguh, aku buta pada kehadiran yang lain. Kerana aku masih berharap dia walau kebarangkalian itu adalah sifar.


Aku cuma perlu dia untuk membenciku. Maka dengan itu akan terlerai sumpahan kesesatan di dimensi ini. Tidak diketahui bila masanya. Mungkin hingga akhir hayatku. Dan aku, ukir di setiap kata padanya sentiasa akan membencinya walau ku tahu itu hanya ego semata.

"Dalam setiap bintang yang berkerdip itu, hanya ada satu yang pudar sinarannya. Kerana si bulan hampir terlupa memantul cahaya. Dan itulah aku." SD

No comments: